Bismillahirrahmanirrahim... Dan Salam Ziarah Pada Semua


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Jumaat, 26 November 2010

Melatih Diri Menahan Nafsu Dan Syawat.


Apa yang saya kongsi di dalam entry hari ini merupakan secebis daripada tulisan da didalam buku bertajuk Penenang Jiwa terjemahan daripada kitab Mukashah Al-Qulub oleh Imam Al-Ghazali yang saya rasakan berbaloi untuk dikongsikan bersama. InsyaAllah.
Bahawa sesungguhnya, Allah SWT telah berfirman:
“Hendaklah tiap-tiap orang memerhatikan apa yang diusahakan untuk esok (Hari Kiamat)” (Al-Hasyr:18)
Ketahuilah wahai manusia! Sesungguhnya nafsu yang memerintahkan kejahatan itu lebih memusuhimu daripada iblis. Syaitan hanyalah memperalatkan nafsu syahwat untuk menguasaimu. Janganlah engkau tertipu oleh nafsumu degan segala angan-angan dan kepalsuan. Watak nafsu ialah berasa aman, suka berlengah-lengah, bersuka-suka dan malas. Setiap rayuannya adalah batil dan palsu belaka. Jika engkau rela menuruti rayuannya, hancurlah engkau. Jika engkau lambat memperhitungkan tentu akan tenggelam. Jika engkau lemah melawannya, lalu mengikuti keinginannya, tentulah dia melemparmu ke Neraka. Nafsu tidak pernah menuju kepada kebaikan. Ia sumber bencana. Dialah markas Iblis serta tempat segala keburukan yang hanya diketahui Allah. Sesungguhnya Allah mengetahui segala engkau perbuat, baik mahupun jahat.
Jika seorang hamba mahu merenungi umurnya yang telah lanjut untuk mencari akhirat, maka renungan itu dapat mencuci hati. Seperti disebutkan oleh Rasulullah SAW:
“Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadah setahun”
Demikian dalam tafsir Abul-Laits. Maka sesungguhnya bagi orang berakal segera bertaubat atas dosa yang telah lalu dan memikirkan akan bekal mencapai keselamatan di akhirat.Dia memutuskan angan-angan keduniaan, segera bertaubat, mengingati Allah, meninggalkan laranganNya, sabar menahan nafsu dan tidak memperturutkan keinginan syahwat. Ingat! Nafsu adalah berhala. Barangsiapa menuruti nafsu bererti menyembah berhala. Orang yang menyembah Allah, dialah yang mampu menahan nafsunya.
Telah berkata Nabi Sulaiman bin Daud a.s:
“Sesungguhnya mengekang nafsu itu lebih sulit daripada membuka sebuah kota sendirian”
Yahya bin Muaz Ar Razi berkata,
” Perangilah nafsumu dengan taat dan riadah (latihan rohani). Riadah adalah mengurangi tidur, mengurangkan makan mahupun bercakap, menahan kepedihan daripada makhluk. Sedikit tidur akan mensucikan kehendak, sedikit berkata akan selamat daripada bencana. Dan menahan pedih dapat meghantarkan ke puncak. Bahkan sedikit makan dapat menundukkan syahwat. Sesungguhnya banyak makan dapat mengeraskan hati dan menghilangkan cahayanya. Dan cahaya hikmah adalah lapar.Serta kenyang akan dapat menjauhkan seseorang daripada Allah.
*Subhanallah. Maha suci Allah. Di manakah dan bagaimanakah kita sekarang? Semoga kita dapat membezakan di antara kehendak dengan keperluan, semoga kita dapat bersederhana di dalam semua perkara. Sesungguhnya Allah amat membeci sifat yang berlebih-lebihan.
Semoga Allah mengampunkan semua dosa kita, dosa ibubapa kita, dosa suami/isteri kita, dosa zuriat kita, kaum keluarga, guru-guru, sahabat-sahabat dan orang-orang pernah berbuat baik kepada kita. InsyaAllah.

Nafsu Manusia

Imam al-Ghazali pernah berkata:
“Kita wajar bertanya kepada diri kita setiap kali apabila Allah masih memberi kesempatan dan peluang untuk hidup dengan mengizinkan kita bangun pada hari ini. Allah bagi kesempatan untuk diri kita menginsafi akan dosa-dosa yang dilakukan lantaran itu kita perlu bertaubat dengan kesempatan ini.”
Nafsu merupakan makhluk Allah yang dikurniakan kepada manusia. Kisah awal penciptaan nafsu menunjukkan kepada kita bahawa nafsu merupakan makhluk yang degil angkuh terutamanya ketika ia kuat. Nafsu hanya mula mengaku Allah sebagai Tuhan apabila berada dalam keadaan yang lemah.
Fitrah kejadian manusia sering lalai dan leka kerana manusia sering tewas kepada nafsu.
Oleh itu kita perlu melawan dan mengawal nafsu agar dapat membimbing diri kea rah kebaikan dan menjauhi dari keburukan. Kita tidak boleh membunuh nafu kerana ia merupakan kurniaan daripada Allah SWT.
Untuk mengawal dan mengendalikan nafsu , kita perlu merujuk kepada kaedah dan cara-cara yang telah diberikan dan ditunjuk oleh Pencipta nafsu iaitu Allah SWT.
Oleh yang demikian, ketahuilah bahawa manusia perlu merujuk kepada Deen Islam yang diturunkan dan diredhai oleh Allah kerana di dalamnya ada dinyatakan kaedah-kaedah untuk mengawal nafsu.
Terdapat beberapa tingkatan nafsu. Antaranya ialah nafsu ammarah. Nafsu ammarah adalah cenderung kepada kejahatan.
“… Sesungguhnya nafsu (ammarah) cenderung kepada kejahatan …” (Yusuf, 12: 53)
Ada orang yang bertuhankan nafsu, sesuatu perbuatan syirik yang kebanyakan manusia tidak menyedarinya.
“Terangkanlah kepadaKu tentang orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya, maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya. Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar dan memahami, mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat jalannya dari binatang ternak itu.” (Al-Furqan, 25: 43-44)
Nafsu yang kedua ialah nafsu radhiah – redha dengan ketentuan Allah. Mereka yang memiliki nafsu ini memiliki sifat qanaah iaitu berasa cukup dengan apa yang ada.
“Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya.” (al-Fajr, 89: 28 )
Ini merupakan suatu cara yang baik untuk mengawal nafsu iaitu dengan tidak terlalu melihat kepada duniawi.
Seterusnya ialah nafsu muthmainnah – jiwa yang tenang. Mereka yang memiliki nafsu pada tingkatan ini telah meletakkan diri mereka pada tahap pengawalan nafsu yang terbaik.
Sepertimana firman Allah dalam surah al-Fajr, mereka yang memiliki nafsu muthmainnah akan mendidik diri mereka untuk bersikap redha dan mereka akan berada dalam golongan yang Allah iktiraf sebagai hambaNya dan akan diberi ganjaran syurga.
“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.” (a-Fajr, 89: 27-30 )
Untuk memiliki ketenangan, kita perlu mendapatkan ubat penenang. Antara ubat penanang yang kita perlu ketahui dan menggunakannya ialah dengan zikruAllah.
“…Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang” (ar-Rad, 13: 28 )
Al-Quran merupakan sumber rujukan utama yang perlu digunakan untuk menjadikan jiwa manusia tenang. Selain itu, alam ciptaan Allah yang dijadikan dengan segala keindahan dan keajaiban juga merupakan sumber untuk mengingati Allah. Adakah kita menggunaka sumber tersebut dengan betul?
Namun zikruAllah dalam ruang lingkup yang lebih luas ialah memenuhi segala tuntutan yang Allah tetapkan; melaksanakan semua suruhan dan meninggalkan dan mencegah semua laranganNya.
Nafsu lawwamah merupakan tingkatan manusia yang berada di pertengahan. Dalam keadaan manusia menyedari akan sesuatu yang buruk tetapi kadang-kadang tewas kepada kengingin diri dan nafsu.
Ia merupakan pertembungan antara ilmu dan akal dengan nafsu. Bagi memastikan kebenaran ilmu dipertahankan maka amat penting untuk kita sentiasa berdamping dan mengikuti nasihat alim ulama.
Dalam pertembungan nafsu lawwamah yang kadang-kadang tertewas dengan nafsu dan terjebak dengan maksiat dan dosa, taubat merupakan cara penyucian jiwa yang terbaik.
Sabda Rasulullah SAW:
“Kullu bani Adama khatto’uuna, wa khairul khatto’iina at-tawaabun”.
Yang bermaksud:
“Setiap anak adam tidak sepi daripada melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang (segera) bertaubat.” (HR at-Tarmidhi)
Saidina Ali pernah berkata:
“Allah tidak menciptakan manusia untuk di azab tetapi manusia memilih untuk di azab.”
Allah telah menunjukkan dua jalan kepada manusia iaitu jalan kebaikan dan jalan kejahatan seperti dalam surah as-Syams, 91 ayat 8. Mereka yang memilih jalan kejahatan dengan mengotori jiwa mereka telah dijanjikan akan dibalas azab dan seksa Allah.
Namun Allah memberi kesempatan kepada kita untuk bertaubat, kerana Dia yang menciptakan mamusia amat mengetahui bahawa fitrah kejadian manusia sering lupa dan melakukan kesalahan. Oleh itu, mereka yang tidak bertaubat dengan kesalahan dan dosa yang telah dilakukan beerti seolah-olah mereka memilih untuk di azab.
Kesimpulannya, nafsu tidak dapat dibuang atau dibunuh tetapi manusia perlu mengendali dan membimbing nafsu dengan kaedah yang betul. Islam yang diturunkan oleh Allah menunjukkan jalan kea rah mendidik nafsu, bukannya membunuh nafsu.
Ilmu merupakan keperluan yang sangat penting dalam mengenal, mendidik, mengawal, mengendali dan membimbing nafsu.